Pemandu van kilang maut rempuh belakang treler

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemandu van kilang yang dalam perjalanan mengambil penumpang maut selepas merempuh belakang treler di Jalan Tikam Batu, Kota Kuala Muda, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, Ramli Abdul Aziz, 56, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Dalam kejadian pada kira-kira 5.50 pagi itu, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke Kota Kuala Muda dipercayai untuk mengambil penumpang.

"Sampai di lokasi kejadian, mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar belakang treler yang sedang keluar dari simpang dan berada di bahagian kiri jalan setelah selesai menurunkan barang muatan batu,” menurutnya dalam kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata impak kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler yang berumur 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!