Rafizi minta JPP segera ambil tindakan isu sistem pengundian PKR
SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli mempertikaikan kelemahan sistem pengundian parti itu dan meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) segera mengambil tindakan.
Justeru, beliau pada Ahad telah menghantar surat bantahan kepada Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa dengan melampirkan 11 masalah yang dihadapi di kebanyakan pusat mengundi sejak Jumaat lepas.
“Saya baharu menghantar bantahan rasmi kepada JPP supaya segala masalah dan kelemahan sistem pengundian PKR dibaiki segera untuk menjaga integriti pemilihan kali ini.
“Mohon ambil maklum supaya tidak ada pihak yang akan mengambil kesempatan,” ciapnya di Twitter pada Ahad.
Dalam surat bertarikh 15 Mei itu, beliau memberitahu, beberapa kelemahan ketara telah berlaku setelah proses pengundian secara fizikal berlangsung di enam negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan dan Pahang.
Dakwanya, kelemahan itu berpunca dari keputusan pimpinan parti yang berkeras untuk menjalankan pemilihan sedangkan tempoh masa yang diberikan kepada JPP tidak mencukupi.
“Tanggungjawab itu kini perlu digalas oleh JPP untuk menyelesaikan semua masalah ini. Saya faham bahawa masa yang diberikan kepada JPP (sekitar dua hingga tiga bulan) adalah tidak mencukupi untuk membangunkan dan menguji aplikasi pengundian PKR sepenuhnya.
Saya baru menghantar bantahan rasmi kepada JK Pemilihan Pusat (JPP) supaya segala masalah dan kelemahan sistem pengundian ADIL dibaiki segera untuk menjaga integriti pemilihan kali ini.
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) May 15, 2022
Mohon ambil maklum supaya tidak ada pihak yang akan mengambil kesempatan. pic.twitter.com/sjnSLYAPCh
“Aplikasi undian fizikal dan dalam talian PKR sewajarnya diuji dengan jumlah pengguna yang jauh lebih besar berbanding keadaan sekarang yang mana sistem dipakai tanpa diuji secara menyeluruh.
“Tambahan lagi, daftar keanggotaan yang bermasalah dan mempunyai banyak data yang bertindih atau tidak lengkap akan menyebabkan mana-mana sistem yang dibangunkan akan bermasalah,” katanya seperti yang ditulis dalam surat tersebut.
Justeru, dalam surat itu juga Mohd Rafizi memohon supaya JPP membawa perkara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ia memberi satu keputusan yang adil untuk semua anggota.
“Saya mengambil pendirian sepanjang kempen pemilihan ini secara profesional untuk tidak mengambil bahagian dalam apa-apa keputusan parti yang boleh mempengaruhi kempen pemilihan kerana itu tidak adil kepada calon-calon lain.
“Oleh itu, jalan yang adil dan profesional ialah membuat aduan rasmi kepada JPP untuk diputuskan, memandangkan JPP diberikan mandat mengikut Perlembagaan, menjadi badan bebas untuk mengendalikan pemilihan,” tulisnya dalam surat tersebut.
Dalam surat itu juga, beliau turut memohon supaya JPP mempertimbangkan penangguhan pengundian secara fizikal di beberapa negeri lain bagi mengelakkan pembatalan, penangguhan dan kekecohan yang menyusahkan anggota biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!