Piala Thomas: Pencapaian India bawa kebaikan besar untuk badminton
KEJAYAAN bersejarah India menjulang Piala Thomas buat kali pertama selepas mengejutkan juara bertahan, Indonesia, 3-0, pada edisi 2022, di sini, membawa banyak kebaikan untuk sukan badminton.
Biarpun hampa tidak berjaya membantu Indonesia kembali bangkit dalam aksi genting menentang Srikanth Kidambi, pemain perseorangan kedua, Jonatan Christie tetap bersikap positif dengan pencapaian manis dilakar India di Impact Arena, pada Ahad.
Pemain ranking kelapan dunia itu percaya kemenangan India merupakan satu bukti bahawa pasukan lain juga mampu memecah tembok tradisi untuk duduk sebaris bersama pasukannya yang memegang rekod pasukan paling berjaya dengan 14 kejuaraan diikuti China (10), Malaysia (lima), Denmark (satu) dan Jepun (satu).
"Tidak ada siapa yang jangka India akan juarai Piala Thomas kali ini tetapi itulah sukan, mungkin dari hasil ini saya harap olahraga bulu tangkis (badminton) mampu dicintai lebih ramai orang di dunia ini.
Tahniah India kerana ukir sejarah juarai Piala Thomas buat pertama kali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas upacara penyampaian hadiah, di sini.
Kekalahan Jonatan kepada Srikanth, 15-21, 21-23, dalam aksi ketiga pada final menyaksikan India melengkapkan kisah dongeng mereka dengan bergelar juara pada edisi kali ini.
Dalam pada itu, Jonatan mengakui sudah melakukan sehabis baik bagi menghidupkan peluang untuk mengurangkan defisit kepada 2-1 dan tetap bersyukur biarpun Indonesia hanya bergelar naib juara kali ini.
India membuka tirai kempen mereka menerusi dua kemenangan yang berakhir dengan keputusan 5-0 berturut-turut selepas menumpaskan Jerman dan Kanada, sebelum tumpas 2-3 kepada Juara Kumpulan C, Taiwan.
India kemudian mengejutkan Malaysia 3-2 pada aksi suku akhir serta Denmark di separuh akhir, juga dengan keputusan sama dalam pengembaraan mereka sebelum dimahkotakan juara baharu kejohanan badminton berpasukan paling berprestij di dunia itu.
Pusingan akhir Piala Thomas dan Uber seterusnya akan berlangsung di Chengdu, China, pada tahun 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!