XOX yakin pengambilalihan Perak FC dapat dimuktamadkan
SYARIKAT pengendali rangkaian mudah alih maya XOX Berhad (XOX) yakin urusan pengambilalihan Perak FC dapat dimuktamadkan pada Selasa depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti dan diluluskan termasuk membabitkan tunggakan gaji bekas pemain pasukan itu.
"Kita akan buat bayaran kepada semua pemain supaya dapat daftarkan pemain-pemain baharu. Kita akan melabur untuk membangunkan bola sepak negeri dan berharap penglibatan kita dalam pasukan ini dapat menaikkan semula kegemilangan Perak sebagai jaguh bola sepak negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan perlawanan antara Perak FC dan Penang FC dalam saingan Piala FA 2022 di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.
XOX yang juga penaja sebuah pasukan lumba motor menyatakan hasrat mengenai tawaran pembelian Perak FC pada pertengahan bulan lepas.
Pada perlawanan itu Perak FC tewas 1-4 kepada Penang FC dalam pusingan kedua Piala FA yang dihadiri lebih 3,000 penonton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!