Bila tiada segan silu, rasuah semakin berleluasa
SHAH ALAM - Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyifatkan budaya rasuah di negara semakin berleluasa disebabkan ada individu tidak lagi berasa segan silu apabila terlibat rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, lebih mengecewakan apabila individu yang memberi rasuah turut berasa bangga dengan tindakannya.
“Dulu orang mungkin buat secara sorok-sorok, tetapi sekarang perkara itu sudah berleluasa dan diterima masyarakat. Macam dibanggakan pula oleh si penerima dan pemberi. Pelaku pula kebanyakannya orang Muslim.
“Justeru, bagi saya rasuah di Malaysia ini dari dulu sampai sekarang tak berubah, malah semakin membarah.
“Yang dimaksudkan membarah ini apabila individu tersebut tidak ada rasa segan silu langsung bila menerima rasuah. Kemudian, orang yang memberi pula berasa bangga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, beliau sebelum ini berpengalaman berurusan dengan agensi kerajaan yang mana dalam mesyuarat, rasuah selalu disebut dan diguna pakai, sedangkan masing-masing tahu perkara itu merupakan satu dosa besar dari sudut Islam.
Ditanya mengenai sebab seseorang terlibat rasuah, beliau berkata, ia berpunca daripada masalah kesempitan hidup, malah menjadi satu perkara normal dalam masyarakat hari ini.
“Ada orang dia fikir, kalau orang lain boleh ambil (rasuah), kenapa dia tak boleh ambil. Sebab itu kita perlu berbalik kepada disiplin dan pendidikan.
“Kalau kita nak membina generasi akan datang, isu pendidikan ini perlu dititikberatkan,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik inisiatif yang digerakkan pasukan Rasuah Busters kerana ia dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa rasuah itu merupakan satu penyakit berbahaya.
“Kita mungkin pandang enteng dengan isu rasuah, tetapi perlu ingat sumber haram itu akan menjadi makan minum anak kita dan menjadi darah daging kita.
“Jadi, apa yang diusahakan Rasuah Busters ini merupakan inisiatif yang bagus untuk mengetengahkan dan memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa rasuah adalah satu penyakit yang bahaya,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!