Tiga kaedah pastikan OKU dapat tempat di bawah KPM
SHAH ALAM - Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU) mencadangkan tiga kaedah kepada kerajaan bagi memastikan golongan orang kurang upaya (OKU) yang berpotensi sebagai pendidik dapat diberi tempat sebagai tenaga pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Ghazali Othman berkata, antara langkah tersebut adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) boleh melonggarkan sedikit atau membuat tapisan yang khusus bagi mencari guru dalam kalangan OKU.
“Ini kerana untuk menjadi guru itu perlulah memiliki sijil akademik selayaknya dan bukan semua OKU mampu melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.
“Saya umpamanya, merasai liku-liku kehidupan sebagai seorang mahasiswa dan alhamdulillah, harapannya setelah habis pengajian, tempat untuk bekerja itu menjadi mudah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Muhammad Ghazali berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan dasar satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam yang telah lama diperkenalkan sejak tahun 80-an lagi.
“Buat masa sekarang, saya yakin ramai graduan-graduan OKU yang mengharapkan agar mereka dapat tempat bekerja bukan sahaja di sektor swasta malah sektor awam juga,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan juga disarankan agar sentiasa terus menyokong dan tidak meminggirkan guru-guru OKU.
“Mereka sama juga macam OKU di luar sana, kami memerlukan sokongan daripada semua pihak.
“Contoh sokongannya adalah fasiliti di tempat bekerja, majikan yang memahami suasana yang kondusif serta peralatan bekerja seperti keperluan komputer riba yang sesuai juga perlu dititikberatkan.
“Ini semua mampu membantu seseorang guru OKU itu lebih berdaya saing dalam sesi pengajarannya kepada murid-murid di sekolah,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!