[VIDEO] ‘Gelap mata tak bermakna gelap masa depan’

Zakaria menggunakan komputer riba yang dilengkapi sistem arahan suara (voice command) untuk mengajar pelajarnya.
Zakaria menggunakan komputer riba yang dilengkapi sistem arahan suara (voice command) untuk mengajar pelajarnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, ia tidak menghalang Zakaria Yahya, 55, menggapai impiannya sebagai seorang guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan (SMPK) Setapak di sini.

Anak kelahiran Jasin, Melaka ini bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk mendidik pelajarnya yang sukar menerima nasib yang sama dengannya, terutamanya mereka yang penglihatan terhad (rabun) atau buta atas faktor lain seperti mempunyai penyakit dan terlibat dalam kemalangan.

Zakaria yang mengajar di sekolah berkenaan sejak tahun 2000 itu berkata, pengalamannya belajar bersama rakan-rakan normal semasa di bangku sekolah dan di universiti banyak membantunya untuk membentuk jati diri pelajarnya supaya lebih tahan uji bagi mendepani hari sukar.

“Semasa di sekolah menengah, saya belajar bersama pelajar-pelajar biasa kerana terlibat dalam Rancangan Percantuman yang mana pelajar seperti saya ditempatkan di sekolah-sekolah biasa.

“Pelajar yang buta sejak lahir kurang mempunyai masalah psikologi kerana dia boleh menerima keadaan dirinya berbanding mereka yang buta atas sebab lain.

“Jadi mereka tidak dapat terima yang mereka tidak boleh melihat seperti biasa dan berkeras ingin belajar seperti orang lain,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik.

Zakaria (tengah) bersama isteri dan anaknya.
Zakaria (tengah) bersama isteri dan anaknya.

Mengulas lanjut tentang cabaran mendidik pelajarnya, Zakaria berkata, pelajar-pelajar OKU cacat penglihatan tidak sepatutnya mengehadkan kebolehan diri hanya disebabkan oleh kecacatan yang ada pada diri mereka.

Menurutnya, keadaan tersebut akan mengganggu proses pembelajaran dan seterusnya memberi kesan kepada keyakinan mereka untuk mencapai cita-cita yang diimpikan.

Tambahnya, pelajar tersebut akan sering dinasihatkan untuk sentiasa menerima diri mereka seadanya dan menganggap diri sama seperti insan lain yang juga mempunyai nilai kemanusiaan serupa.

“Contohnya, mereka perlu faham bahawa membaca tulisan Braile tidak bermakna mereka cacat. Tapi ramai yang akan sukar hidupnya jika tidak dapat membaca tulisan tersebut.

“Selagi mereka tidak menerima hakikat tentang keadaan diri mereka, selagi itulah ia akan terus menghalang mereka daripada kejayaan.

“Pendekatan itu tidak keras, tapi bersifat tegas bahawa dia perlu menerima hakikat yang dia tidak boleh melihat. Namun itu tidak bermakna dia tidak boleh berjaya,” katanya yang juga pernah menerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul pada tahun 2020.

Dalam perkembangan lain, Zakaria mengingatkan supaya guru-guru OKU yang senasib dengannya untuk sentiasa mencari cara terbaik bagi mengajar pelajar supaya mereka boleh berjaya pada masa depan.

Katanya, melihat kejayaan bekas-bekas pelajarnya memberikan satu kepuasan dan kemanisan dalam kerjayanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!