Penghantar makanan maut dilanggar bas
KOTA BHARU - Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal jenis Honda RS yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan yang turut membabitkan dua buah kenderaan lain di Kilomoter 11 Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, hadapan Surau Haji Sulong Parit Cina di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 8.30 malam mangsa, Muhammad Amin Maula Ismail, 24, yang beralamat di Kampung Pulau Kapas, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.
"Setiba di lokasi kejadian berhadapan Surau Haji Sulong Parit Cina, seorang pemandu kereta jenis Honda City yang baru selesai solat Isyak dan berada di bahu kiri jalan laluan telah mengundur secara mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, kereta yang dipandu lelaki berusia 73 tahun itu kemudian telah memasuki laluan utama.
Beliau berkata, disebabkan jarak yang dekat mangsa tidak sempat mengelak dan telah terlanggar bahagian belakang kereta tersebut menyebabkan dia terjatuh di laluan bertentangan.
Shuhaimi berkata, ekoran itu mangsa telah dilanggar oleh sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!