Hanoi 2021: Nur Azmi mahu atlet negara kekal fokus

Nur Azmi Ahmad
Nur Azmi Ahmad
A
A
A

KONTINJEN Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021, terutamanya pasukan renang dinasihatkan supaya kekal fokus kepada misi mereka biarpun sebutir pingat yang sepatutnya dalam genggaman terlepas selepas renangan mereka dibatalkan, semalam.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, walaupun setiap orang kecewa dengan insiden pemulaan palsu itu dalam acara 4x100 meter (m) gaya bebas lelaki berganti-ganti malam tadi, atlet perlu bersedia, terutamanya secara psikologi untuk mencapai matlamat mereka.

"Walaupun pengurus dan jurulatih kami cuba sedaya upaya mereka untuk membantah keputusan itu, selaku CDM saya rasa kecewa apabila pengadil membuat keputusan mereka seperti itu. Tiada guna untuk merungut terhadap aspek teknikal.

"Apa yang penting bagi saya, atlet perlu sentiasa bersedia dan selalu fokus kepada sasaran kami dan misi mereka untuk sampai ke Hanoi,” katanya pada Ahad.

Malaysia terlepas pingat dalam acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti itu selepas skuad negara dan Singapura dibatalkan renangan mereka kerana pemulaan palsu di Aquatic Sports Palace di sini.

Berdasarkan kepada keputusan awal ditunjukkan pada papan skor, Singapura yang dianggotai bekas juara Olimpik Joseph Schooling, Mikkel Lee, Quah Zheng Wen dan Jonathan Tan menamatkan perlumbaan terlebih dahulu dengan catatan masa 3 minit 17.19 saat.

Malaysia yang dibarisi Welson Sim, Lim Yin Chuen, Khiew Hoe Yean dan Arvin Shaun Singh Chahal, pula ditempat kedua dengan 3:20.13s, iaitu catatan lebih baik daripada rekod kebangsaan 3:21.06s yang dicatatkan di Sukan Asia 2018, diikuti Vietnam (3:21.81s).

Dengan pembatalan Singapura dan Malaysia menyaksikan Vietnam diberikan pingat emas, manakala Indonesia (3:24.090s) perak dan Thailand (3:24.280s) menang gangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!