'Sungguh besar pengorbananmu wahai pendidik'
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, para pelajar pada waktu itu tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak berbahaya tersebut.
“Bagaimanapun, warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa,” katanya dalam siaran di Facebook rasminya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti terhad.
“Setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula program ‘Catch Up’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.
“Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini,” ujarnya.
Selain itu, menurutnya, sambutan Hari Guru pada tahun ini akan lebih meriah terutamanya di peringkat sekolah memandangkan negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru.
“Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahhim sesama guru atau dengan anak murid.
“Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!