Moyes bangga walau diikat City
BIARPUN hampir mencatatkan kemenangan ketika berdepan Manchester City sebelum akhirnya terikat 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad, pengendali West Ham David Moyes tetap berbangga dengan prestasi yang dipamerkan kesebelasan The Hammers itu.
Menurut Moyes, skuad kendaliannya itu telah mempamerkan aksi di luar jangkaan pada perlawanan berkenaan hingga pernah mendahului 2-0 di sepanjang separuh masa pertama.
“Sebenarnya sukar untuk saya mempercayai bagaimana pemain saya termasuk bagaimana mereka (City) beraksi pada perlawanan itu.
“Pemain saya beraksi dengan baik dan berjaya menjaringkan dua gol dan kami juga telab mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan kelebihan itu.
“Namun secara keseluruhannya, keputusan seri ini merupakan keputusan yang terbaik buat kami kerana berjaya mengikat sebuah pasukan hebat seperti City,” katanya.
Pada aksi berkenaan penyerang West Ham, Jarrod Bowen meledak dua gol pada minit ke-24 dan minit-45 sebelum pemain City, Jack Grealish merapatkan jurang pada minit ke-49.
City kemudiannya menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan West Ham, Vladimir Coufal tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-69 untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu bagaimanapun mempersia-siakan peluang untuk meraih tiga mata berharga apabila sepakan penalti Riyad Mahrez pada penghujung perlawanan mudah diselamatkan penjaga gol West Ham, Lukasz Fabianski.
Mengulas lanjut Moyes berkata, keputusan seri itu menyaksikan skuad kendaliannya itu gagal berada dalam kelompok lima pasukan terbaik musim ini.
“Saya mahu West Ham terus mencabar dan berada pada kedudukan kelima atau keenam musim ini. Saya agak kecewa kerana kami tercicir daripada kedudukan berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!