Hobi tangkap anak ikan kelah beri pulangan kepada tiga sahabat

Hobi menangkap anak ikan kelah merah membolehkan tiga sahabat dari Kampung Bukit, di sini menambah ‘duit poket’ bagi perbelanjaan ke sekolah sekali gus meringankan beban ibu bapa masing-masing. - Foto Bernama
Hobi menangkap anak ikan kelah merah membolehkan tiga sahabat dari Kampung Bukit, di sini menambah ‘duit poket’ bagi perbelanjaan ke sekolah sekali gus meringankan beban ibu bapa masing-masing. - Foto Bernama
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hobi menangkap anak ikan kelah merah membolehkan tiga sahabat dari Kampung Bukit, di sini menambah ‘duit poket’ bagi perbelanjaan ke sekolah sekali gus meringankan beban ibu bapa masing-masing.

Kebiasaannya, Muhammad Syahrizal Aiman Abdullah, 14, bersama rakannya Muhammad Sharil Hakim Mat Nawang, 12 dan Muhammad Faizal Ikhwan Ismail, 11, akan keluar mencari spesies ikan sungai itu pada waktu petang selepas tamat waktu persekolahan.

Muhammad Syahrizal Aiman berkata, mereka menggunakan penapis air bagi menyauk anak ikan kelah merah yang banyak terdapat di sepanjang Sungai Belukar Bukit, dan setiap seekor dijual antara 30 sen dan 40 sen bergantung kepada saiz.

"Jualan tak menentu tengok nasib berapa jumlah anak ikan yang berjaya ditangkap, paling banyak yang pernah saya dapat RM200 itupun setelah sehari suntuk menyauk ikan.

"Ramai pembeli yang dah kenal saya akan datang ke sini bagi mendapatkan anak ikan kelah.

Biasanya ia dijual semula pada harga lebih tinggi untuk pasaran luar," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Muhammad Sharil Hakim pula berkata keghairahan mereka dengan hobi itu, bagaimanapun tidak menjejaskan pelajaran kerana aktiviti tersebut hanya dilakukan pada musim cuti sekolah, cuti umum atau waktu petang sahaja.

"Saya akan pastikan semua kerja sekolah siap, baru boleh keluar cari anak ikan di sungai.

Emak dan ayah selalu ingatkan saya agar tidak terlalu leka dengan hobi ini," kata murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Betong di sini itu.

Sementara itu, Hafidah Othman, 48, ibu kepada Muhammad Faizal Ikhwan berkata dia memahami minat anaknya itu, namun sentiasa mengingatkan agar menitikberatkan aspek keselamatan sepanjang berada di sungai.

"Syukur, hobi ini sekurang-kurangnya dapat memberi pendapatan kepada dia bagi membeli apa sahaja yang diinginkan.

Jumlah yang diperoleh bukan perkara utama.

"Hobi ini juga secara tidak langsung dapat menjauhkan mereka daripada gajet yang menjadi kegilaan anak-anak zaman sekarang, selain dapat mendidik mereka untuk menghargai alam semula jadi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!