Pemilihan PKR Cabang Bayan Baru kecoh
BAYAN BARU - Provokasi selain petugas didakwa tidak mengikut peraturan pengundian dipercayai menjadi punca berlaku kekecohan di Pusat Pengundian Cabang Bayan Baru yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dileraikan dalam tempoh yang singkat tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Difahamkan, punca kekecohan itu berlaku apabila perayu didakwa tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan yang mana mereka tidak boleh berada kurang daripada 200 meter dari pusat pengundian.
Kekecohan itu dipercayai berlaku antara penyokong dua calon bagi ketua cabang iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan juga Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Abdul Halim Hussain.
Selain itu, difahamkan petugas di pusat pengundian itu juga didakwa terdiri daripada penyokong kepada salah seorang calon tersebut menyebabkan berlaku ketidakadilan ketika proses merayu undi.
"Petugas pusat pengundian dan perayu undi adalah daripada pihak yang sama, sebab itu berlaku ketidakadilan ketika merayu undi. Mereka jelas tidak mengikut peraturan yang ditetapkan yang mana tidak boleh berada (untuk merayu undi) dalam radius 200 meter.
"Kami di pihak sini, menurut semua peraturan yang ditetapkan, sebab itu apabila berlaku seperti ini, kami berasa tidak adil. Kita sedang merangka surat aduan untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk tindakan selanjutnya," kata sumber dalaman ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam pada itu, Abdul Halim ketika dihubungi berkata, insiden itu berpunca daripada provokasi antara perayu undi namun tiada sebarang kekecohan melampau yang berlaku ketika itu.
"Ia berlaku sebab perayu undi berebut pengundi, ia perkara biasa dalam sebarang proses pengundian.
"Tidak ada sebarang pergaduhan fizikal berlaku dan ia dileraikan dengan baik," katanya.
Sebanyak 13 cabang yang mengadakan sesi pemilihan secara fizikal itu adalah Balik Pulau, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru.
PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!