Ribut petir dijangka berlaku di beberapa negeri hari ini
SHAH ALAM - Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangkakan berlaku di beberapa buah negeri pada hari ini sehingga jam 4 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Isnin memaklumkan antara negeri yang terlibat adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.
Selain itu, situasi tersebut berlaku di Perak membabitkan kawasan Hulu Perak, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim manakala Kelantan melibatkan Jeli, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Fenomena berkenaan juga berlaku di Terengganu meliputi kawasan Besut dan Setiu, Johor di kawasan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat serta Kluang sementara Sarawak melibatkan Kapit (Belaga), Bintulu dan Miri (Subis dan Miri).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!