7,000 ahli PKR Negeri Sembilan dijangka keluar mengundi

Suasana luar Dewan Bandar Springhill, Port Dickson untuk pemilihan Cabang Port Dickson, pada Isnin.
Suasana luar Dewan Bandar Springhill, Port Dickson untuk pemilihan Cabang Port Dickson, pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Kira-kira 7,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan melibatkan lapan cabang dijangka keluar mengundi secara fizikal untuk memilih kepemimpinan baharu parti itu, pada Isnin.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemilihan itu merupakan satu proses demokrasi bagi memilih pemimpin dalam parti.

"Setakat ini tiada kejadian tidak diingini terjadi malah proses pengundian berlangsung dalam keadaan terkawal.

"Proses pengundian secara fizikal hari ini sangat menggalakkan. Ia perkara baik walaupun ada pertembungan di setiap cabang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Dewan Bandar Springhill untuk pemilihan Cabang Port Dickson, pada Isnin.

Di Negeri Sembilan, pemilihan di peringkat cabang yang menjadi tumpuan antaranya Cabang Seremban dan Cabang Port Dickson.

Di Cabang Seremban, persaingan merebut jawatan Ketua Cabang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Setiausaha MPN Keadilan Negeri Sembilan, Nazri Kassim.

Sementara itu di Port Dickson, persaingan merebut jawatan Ketua Cabang membabitkan pertembungan empat penjuru termasuk Pengerusi MPN Keadilan Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin sebelum ini merupakan Ketua Cabang Tampin mengumumkan berpindah keanggotaannya ke Cabang Port Dickson dan mencabar penyandang jawatan berkenaan Datuk M Ravi.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, berbeza dengan parti politik lain yang menggunakan kaedah perwakilan, setiap ahli dalam Keadilan mempunyai hak untuk mengundi dan memilih pemimpin parti selaras konsep demokrasi.

Ahli PKR Negeri Sembilan mula mengundi secara fizikal pada Isnin bermula jam 9 pagi hingga 5 petang membabitkan lapan cabang manakala undian dalam talian melalui aplikasi Adil bermula dari 18 hingga 20 Mei ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!