Pelik baru daftar jadi ahli boleh mengundi

Vaanmanthi (kanan) dan Nasarudin (tengah) menunjukkan butiran keahlian yang menyatakan layak mengundi atau tidak.
Vaanmanthi (kanan) dan Nasarudin (tengah) menunjukkan butiran keahlian yang menyatakan layak mengundi atau tidak.
A
A
A

REMBAU - Beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau menyatakan rasa tidak puas hati dengan sistem pengundian secara dalam talian yang digunakan dalam Pemilihan PKR 2022.

Mereka mempersoalkan apabila ada yang baru menjadi ahli dibenarkan untuk mengundi sedangkan mengikut syarat, mereka yang keahlian sehingga 31 Januari 2022 sahaja dibenarkan berbuat demikian.

D Vaanmanthi, 28, berkata, dia pelik kerana abangnya yang mendaftar sebagai ahli PKR pada April lalu dibenarkan mengundi sedangkan dia yang menjadi ahli lebih awal tidak dibenarkan.

"Saya yang daftar keahlian pada 17 Mac lalu pun tak dibenarkan mengundi, macam mana abang saya boleh lepas.

"Saya tak faham sistem ini macam mana. Bagi saya ia tak adil dan boleh dipersoalkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di khemah pendaftaran mengundi di Cabang Rembau di sini pada Isnin.

M V Kathiresan, 31, pula yang dibenarkan mengundi meskipun hanya pada bulan lalu mendaftar sebagai ahli berharap masalah itu dapat diberi perhatian oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Katanya, ia boleh menyebabkan rasa tidak puas hati ahli lain terhadapnya.

"Jangan macam ini, nanti orang marah dengan saya. Sepatutnya semua kena sama," katanya.

Seorang calon Cabang Rembau, Nasarudin Ibrahim, 58, berkata, isu itu perlu diketengahkan oleh lebih ramai ahli parti kerana sistem itu ternyata boleh dimanupulasi oleh pihak yang mengambil kesempatan.

Katanya, calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli turut menyatakan bantahan kepada JPP sekali gus menunjukkan sistem digunakan ada kelompangan.

"Saya percaya masalah yang timbul berlaku di banyak tempat. Saya harap JPP dapat menyiasat isu ini dan kita juga akan kemukakan bukti.

"Saya juga telah membuat aduan secara lisan kepada JPP sebelum ini berkenaan isu ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!