Skuad futsal lelaki tewas lagi

Pemain Indonesia mudah merampas bola daripada pemain negara pada aksi petang tadi. - Foto FB FAM
Pemain Indonesia mudah merampas bola daripada pemain negara pada aksi petang tadi. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD futsal lelaki negara terus berada di kedudukan tercorot sempena Sukan SEA Hanoi 2021, setelah tewas 0-3 kepada Indonesia di Kompleks Sukan Ha Nam, pada Isnin.

Kekalahan berkenaan merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat skuad negara setelah tewas 2-6 kepada Thailand, 11 Mei lalu sebelum ‘dibelasah’ Vietnam 1-7 pada Ahad.

Kekalahan itu menyaksikan skuad futsal lelaki negara semakin sukar untuk merebut pingat pada edisi Sukan SEA kali ini yang menggunakan format liga satu pusingan iaitu pasukan yang meraih mata tertinggi bakal memenangi emas dan pasukan di tempat kedua dan ketiga bakal meraih perak dan gangsa.

Ketika aksi berdepan Indonesia skuad negara dilihat mempamerkan aksi bertenaga pada awal perlawanan.

Bagaimanapun, setelah Syauqi Saud meledak gol sulung buat Indonesia pada minit ke-17, benteng skuad negara dilihat mula goyah dengan membiarkan pemain-pemain lawan bebas berlegar di depan pintu gol.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Indonesia bagi menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-21 dan min-22 untuk selesa mendahului hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad negara cuba untuk bangkit namun segala asakan yang dilancarkan ke pintu gol Indonesia gagal menepati sasaran hingga ke wisel penamat.

Skuad futsal lelaki negara bakal berdepan Myanmar Khamis ini bagi aksi terakhir dalam usaha mencatatkan kemenangan pertama pada edisi kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!