'Pemilihan PKR kali ini jauh lebih baik'
SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan pemilihan parti pada kali ini adalah jauh lebih baik berbanding pemilihan sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, walaupun ada pertandingan tetapi keadaan lebih tertib dan berharap semua calon bertanding dapat menjaga penyokong masing-masing.
"Ini bagi memastikan proses demokrasi ini tidak dicemari dengan tindakan-tindakan tidak menguntungkan sesiapa malah mungkin akan memberi kesan kepada imej parti dan juga kepimpinan kerajaan.
"Jadi saya sangat berharap agar semua dapat menawarkan diri dengan kaedah yang baik, menjaga ketertiban dan menjaga adab ketika berkempen," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri 2022 dan Rapat Umum #KitaSemuaKeadilan Aspirasi Kota Raja di Dewan Tulip Majlis Bandaraya Shah Alam Bukit Naga di Seksyen 32 di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin juga berharap proses pemilihan dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih besar selepas ini.
"Tugas kita yang lebih besar ialah berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!