Sang Kenari digesa bangkit di Darul Aman

KDA FC mempersiapkan pasukan terutamanya memperkemaskan bahagian pertahanan sebelum sepak mula Liga Super 2022 bertemu NS FC di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto KDA FC
KDA FC mempersiapkan pasukan terutamanya memperkemaskan bahagian pertahanan sebelum sepak mula Liga Super 2022 bertemu NS FC di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto KDA FC
A
A
A

SANG Kenari digesa memanfaatkan laman sendiri bagi memburu tiga mata penting apabila menerima kunjungan Negeri Sembilan (NS) FC bagi saingan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berkata, semua pihak terutamanya penyokong mahu mereka kembali memburu kemenangan selepas mempamerkan beberapa aksi yang tidak konsisten sehingga berada di tangga ketiga selepas lapan perlawanan dengan 13 mata.

Menurutnya, beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan aspek pertahanan dipersiapkan sebaik mungkin kerana sedar NS FC juga antara pasukan yang sedang meningkat naik dan memberikan cabaran kepada pasukan lain.

"Kami sedang menumpukan usaha untuk memastikan Kedah kembali bangkit mendapatkan kemenangan di laman sendiri semasa bertemu Negeri Sembilan pada Selasa. Persiapan yang dilakukan berjalan dengan lancar.

"Kami tiada pilihan lain lagi (bangkit dan mencatatkan kemenangan). Persiapan dilakukan agar kali ini benteng lebih kukuh dan tidak mudah bolos agar tidak terus keciciran mata," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, pemain diingatkan agar tidak lagi mengulangi kesilapan mudah yang boleh merugikan pasukan seperti beberapa perlawanan lalu.

Menurutnya, KDA FC terpaksa berputih mata apabila lawan berjaya menjaringkan gol pada separuh masa kedua sehingga menafikan gol yang diperoleh pasukannya lebih awal.

"Kesilapan lalu menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk pasukan kami. Diharapkan agar pemain tidak mengulanginya lagi dalam usaha kembali bangkit ke tahap terbaik seperti yang dimahukan oleh semua pihak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!