Tiga mangsa banjir kilat diselamatkan
HULU SELANGOR - Seramai 120 mangsa dianggarkan terjejas ekoran banjir kilat yang melanda Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Ladang Estet Sungai Dua Kerling, di sini pada petang Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, banjir kilat dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang berterusan di kawasan berkenaan.
Katanya, sehingga jam 4. 25 petang, operasi menyelamat masih dijalankan sepasukan anggota dan pegawai JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu di kawasan terbabit.
Menurutnya, operasi menyelamat turut diperkasa dengan penglibatan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dan dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Zon 6.
"Kita berjaya menyelamat dan mengeluarkan tiga mangsa membabitkan dua wanita termasuk seorang warga emas dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Jawa Kerling," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari masa ke masa untuk memastikan tiada mangsa yang tertinggal susulan cuaca yang masih hujan di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!