Queenie rangkul perak dengan rekod kebangsaan baharu

Queenie Ting meraih pingat perak Sukan SEA dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu. - Foto FB Majlis Sukan Negara
Queenie Ting meraih pingat perak Sukan SEA dengan mencatatkan rekod kebangsaan baharu. - Foto FB Majlis Sukan Negara
A
A
A

ATLET lempar cakera kebangsaan, Queenie Ting Kung Ni menampilkan satu lagi aksi bertenaga untuk meraih pingat perak Sukan SEA dengan mencatatkan rekod kebangsaan yang baharu pada Isnin.

Atlet berusia 24 tahun berasal dari Sarawak itu melakukan lemparan sejauh 52.36 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh di sini untuk memperbaiki rekod kebangsaan miliknya itu.

Rekod terdahulu Queenie Ting adalah catatan 50.67m pada Malaysian Track & Field Trials di Stadium MSN Bukit Jalil, apabila beliau menjadi atlet lempar cakera wanita pertama Malaysia untuk mencapai catatan 50m ke atas.

Kejayaan pingat perak itu juga membantu beliau memperbaiki pencapaian di Sukan SEA selepas meraih pingat gangsa pada debutnya di edisi Filipina 2019.

Olimpian Thailand, Subenrat Insaeng yang juga pemegang rekod Sukan SEA dengan catatan 60.33m, mempertahankan pingat emas dengan catatan 53.09m pada lemparan terakhir untuk mengatasi Queenie Ting.

Seorang lagi atlet Malaysia, Choo Kang Ni menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 46.57m. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!