Skuad B-23 tidak gentar harungi aksi separuh akhir: Maloney

Penyerang skuad B-23 negara, Muhammad Hadi Fayyadh cuba melepasi kawalan ketat pertahanan Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong pada Isnin. - Foto Facebook FAM
Penyerang skuad B-23 negara, Muhammad Hadi Fayyadh cuba melepasi kawalan ketat pertahanan Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong pada Isnin. - Foto Facebook FAM
A
A
A

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara perlu bersedia dan tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan pada aksi separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Hanoi 2021, Khamis ini.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney berkata, kesebelasan pemain telah membuktikan kemampuan masing-masing dengan mencatatkan keputusan positif pada saingan peringkat kumpulan.

Malah katanya, pemain juga perlu meneruskan aksi sebagaimana yang dipamerkan di peringkat kumpulan sebelum ini bagi mengharungi aksi separuh akhir nanti.

“Jika kita mahu muncul juara kali ini, kita perlu menewaskan pasukan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, skuad B-23 negara tetap perlu bersedia secukupnya selain tidak berasa gentar untuk berdepan dengan mana-mana pasukan pada saingan peringkat separuh akhir nanti.

“Secara keseluruhannya, pemain perlu bersedia selain melakukan pendekatan sama seperti ketika beraksi pada saingan peringkat kumpulan sebelum ini

“Walau pasukan mana yang bakal kita temui di separuh akhir nanti, kita akan gunakan pendekatan yang sama dalam usaha memastikan kejayaan pasukan.

“Ini kerana, kedua-dua pasukan (dari Kumpulan A) merupakan pasukan yang cukup bagus,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi terakhir Kumpulan B berdepan Kemboja pada Isnin.

Aksi di Stadium Thien Truong pada Isnin menyaksikan skuad B-23 negara terikat 2-2 berdepan Kemboja, sekali gus membantutkan hasrat untuk menyaksikan skuad kendalian Maloney itu layak ke saingan separuh akhir selaku juara kumpulan.

Malah, mereka terpaksa pula menanti keputusan perlawanan antara Thailand dan Laos bagi menentukan juara Kumpulan B dan seterusnya pihak lawan yang bakal ditentang pada aksi separuh akhir, Khamis ini.

Berdasarkan format pertandingan, juara daripada setiap kumpulan bakal berdepan dengan naib juara dan dua pasukan yang menang bakal beraksi di pentas final bagi merebut pingat emas manakala dua pasukan yang tewas di separuh akhir bakal beraksi bagi penentuan pingat gangsa.

Justeru katanya, kesebelasan pemain hanya perlu meneruskan pendekatan sebagaimana yang dilakukan pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini bagi mengharungi aksi di separuh akhir.

“Pada aksi di peringkat kumpulan sebelum ini, kita lebih banyak menguasai perlawanan dan pendekatan sama akan kita gunakan pada aksi separuh akhir nanti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!