'Tun M pernah pinda perlembagaan UMNO, negara berkali-kali'

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menegaskan tindakan UMNO meminda perlembagaan bukan bermaksud parti itu tidak menghormati perlembagaan sendiri.

Menurutnya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah meminda Perlembagaan UMNO sepanjang menyandang gelaran presiden parti itu.

“Ia bukan kali pertama pindaan perlembagaan UMNO dilaksanakan. Dr Mahathir mendakwa bahawa UMNO tidak hormat perlembagaan sendiri dengan memindanya bagi menangguhkan pemilihan parti. Saya tidak merasakan UMNO perlu menjustifikasi tindakan dalaman kepada parti saingan.

“Tetapi disebabkan yang bersuara kali ini juga bekas Presiden UMNO, mungkin ada baiknya saya ingatkan, ini bukan kali pertama pindaan perlembagaan UMNO telah dilakukan.

“Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan parti telah dilakukan tiga kali,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi bahawa UMNO tidak menghormati perlembagaan parti apabila meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, ketika menjadi Presiden UMNO pada 1987, Dr Mahathir telah memperkenalkan sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Beliau turut mempersoalkan adakah ia bermaksud kepimpinan pada waktu itu tidak menghormati perlembagaan parti.

Katanya, pada 1998, iaitu ketika Dr Mahathir masih lagi menyandang jawatan Presiden, sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti diperkenalkan.

“Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?

“Alang-alang bercakap pindaan perlembagaan, elok juga kita lihat pindaan Perlembagaan Persekutuan juga.

“Kali pertama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali, termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis perlembagaan," jelasnya.

Tambahnya, kali kedua Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, perlembagaan telah dipinda sekali.

“Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua di atas, tidak.

“Perlembagaan sesebuah organisasi dipinda mengikut kesesuaian sesuatu waktu dan boleh atau akan dipinda lagi dari semasa ke semasa, selagi tidak lari daripada semangat dan roh perjuangan parti itu.

“Akhir kalam, lebih baik pinda perlembagaan parti berbanding berpindah parti berkali-kali,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!