Christchurch, PUBG dan e-Sukan
PERISTIWA pembunuhan di Christchurch New Zealand pada 15 Mac 2019 telah menggemparkan seluruh dunia yang menyebabkan kematian sehingga 50 orang. Berbagai-bagai reaksi diterima daripada orang ramai sama ada penganut Islam atau bukan.
Pelaku, Brenton Tarrant, 28, adalah warga Australia yang ekstremis dan pengganas anti penghijrahan penduduk Muslim ke New Zealand, terutamanya di Christchurch dengan menganggap Muslim itu membawa ideologi terorisme.
Rentetan daripada peristiwa ini, Senator Australia, Fraser Anning telah mengeluarkan kenyataan bersetuju dengan tindakan pengganas tersebut. Beliau menyatakan bahawa pertambahan golongan imigran beragama Islam di New Zealand adalah punca kepada insiden tembakan tersebut
Akibat kenyataan Anning itu, seorang remaja bernama Will Conolly, 17, dengan beraninya telah memecahkan telur di kepala Anning ketika beliau mengadakan sidang media.
Menurut Will, “Inilah ketika saya berasa sangat bangga sebagai manusia. Izinkan saya memberitahu anda semua, Muslim bukan pengganas dan terorisme tidak ada agama. Semua orang yang menganggap Muslim sebagai komuniti pengganas memiliki otak yang kosong seperti Anning”.
Insiden tersebut kini tular di media sosial dan Will kini diangkat sebagai “hero”. Kempen crowdfunding dengan hashtag #eggboy telah diwujudkan untuk mengajak orang ramai dari seluruh dunia membantu membayar kos perundangan remaja tersebut dan kempen untuk membeli lebih banyak telur.
Difahamkan sehingga kini kutipan tersebut berjumlah $56,725 (RM231,000) yang mana Will menyatakan bahawa dia mahu menyerahkan kutipan itu kepada keluarga mangsa.
Ini merupakan reaksi yang diterima kesan daripada peristiwa pembunuhan kejam di Christchurch. Bagaimanapun, terdapat reaksi lain akan dibincangkan di sini, iaitu reaksi yang melihat permainan Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) adalah punca kepada pembunuhan tersebut. Secara mudahnya, PUBG adalah permainan tembak-menembak dalam talian secara berkumpulan.
Susulan insiden berdarah ini, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menggesa kerajaan mengharamkan permainan kegilaan ramai, PUBG yang didakwa mendidik generasi muda ke arah keganasan, (Harian Metro 17/3/2019).
PUBG telah diharamkan di beberapa daerah di India. Pihak berkuasa di Gujarat, India mengharamkan permainan popular PUBG di bandar Rajkot dan Sarat sehingga 30 April 2019.
Menurut arahan, mana-mana individu yang didapati bermain PUBG atau menyertai Momo Challenge akan didakwa di bawah Seksyen 144 Akta Prosedur 1973 dan Seksyen 37(3) Akta Polis Gujarat. Polis mengharamkan permainan ini kerana peningkatan kes keganasan dalam kalangan kanan-kanak dan belia.
Di bandar Kurdis pula, iaitu salah sebuah bandar utama di Iraq telah mengeluarkan fatwa mengharamkan PUBG atas alasan ia melalaikan pemain, mengabaikan nilai dan gaya kehidupan normal mereka. Terdapat juga kes penceraian akibat daripada permainan ini. Pihak berkuasa China juga telah mengharamkan permainan ini atas alasan ia bertentangan dengan nilai-nilai sosial dan etika serta budaya masyarakat China.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kurang bersetuju dengan cadangan pengharaman tersebut. Menurut beliau, permainan PUBG itu tiada langsung kaitan dengan keganasan serta fahaman ekstremisme seseorang.
Menurut beliau lagi, “Percayalah ada atau tidak ‘games’ kalau orang (suspek) dah ada fahaman ekstremisme, mereka akan buat dan lakukan keganasan,” (Harian Metro 17/3/2019).
Daripada penyelidikan yang penulis lakukan netizen mempunyai pandangan bersetuju dan tidak bersetuju dalam hal ini. Bagi yang bersetuju diharamkan berpandangan, permainan ini merupakan latihan menembak yang menggunakan pelbagai jenis senjata api. Permainan ini boleh mempengaruhi pengganas meniru aksi dan menjadikan sebagai medium latihan sebelum aksi sebenar. Selain itu dikatakan permainan ini banyak membuang masa, tidak berfaedah dan solat dilengahkan.
Manakala bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka berpandangan bahawa permainan ini menguji minda dan tahap kreativiti pemain. Ia juga menjadi sumber pendapatan bagi pemain yang mempunyai penstriman langsung di media sosial.
Menurut mereka, jika kita memperkatakan mengenai keganasan, kesemua filem yang mempamerkan aksi ganas mesti diharamkan, termasuk permainan video. Seterusnya mereka berpandangan adalah tidak adil sama sekali kerana terdapat banyak permainan lain yang membawa kesan negatif kepada masyarakat seperti TikTok, Bigo, WeChat dan lain-lain.
Akhir sekali, PUBG dikategorikan sebagai e-sukan dan telah dicipta oleh Brenden Greene. Permainan ini memasuki pasaran pada tahun 2017 dan telah menghasilkan keuntungan sebanyak $1 billion USD. Aplikasi e-sukan merupakan sebuah industri baharu bukan sahaja kepada permainan video tetapi sumber ekonomi baharu kepada individu yang meminati permainan video secara positif.
Dalam permainan e-sukan para pemain selalunya akan dibayar. Sebagai contoh, pemain-pemain e-Sukan Malaysia telah menyertai pertandingan International 3: Dota 2 Championship yang berlangsung di Amerika Syarikat dan telah memenangi tempat ketiga.
Mereka telah dibayar sebanyak RM1 juta. Seperkara lagi, permainan e-sukan akan dipertandingkan di peringkat Sukan SEA Filipina pada tahun 2019. Aspek yang akan dinilai dalam e-sukan ini ialah berkomunikasi berkumpulan, perancangan strategi dan juga taktik permainan.
Sebagai kesimpulan, penulis berpandangan bahawa sebelum memutuskan sesuatu perkara sama ada pengharaman atau tidak permainan PUBG ini, satu kajian melibatkan pakar-pakar harus dikendalikan. Kajian ini antara lain harus melihat kesan psikologi terhadap permainan PUBG. Sekiranya terdapat bukti-bukti saintifik atau kes-kes yang pernah dirujuk untuk mendapatkan rawatan, sama ada di hospital atau di klinik maka PUBG ini perlu diharamkan.
Sekiranya tidak ada bukti-bukti tersebut permainan ini sepatutnya dimajukan serta diberi nilai tambah yang sesuai dengan etika, budaya kita dan agama Islam. Di Norway terdapat kursus-kursus yang telah pun diajar berkaitan dengan e-sukan ini. Malaysia sepatutnya dapat melahirkan bukan sekadar hanya pemain e-sukan tetapi pakar-pakar yang mereka cipta permainan video ini dengan penerapan nilai-nilai Islam.
* Nor Azaruddin Husni Nuruddin IALAH Felow Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM
* Ruangan ini dikelolakan oleh IKIM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!