PM disambut 10,000 tetamu pada majlis Aidilfitri Menteri KUSKOP
SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini hadir di majlis ramah mesra dan sambutan Aidilfitri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini.
Kehadiran Ismail Sabri pada kira-kira 8.50 malam disambut gembira dan meriah para tetamu yang hadir dengan ada yang mengambil kesempatan bergambar bersama Perdana Menteri.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Ismail Sabri yang lengkap berbaju Melayu berwarna biru gelap meluangkan masa lebih sejam di majlis tersebut yang turut dihadiri kira-kira 10,000 tetamu.
Bercakap kepada media, Noh mengucapkan terima kasih atas usaha Perdana Menteri dalam mengawal dan mengekang wabak Covid-19 sehingga membolehkan negara memasuki fasa peralihan ke endemik sekali gus membolehkan Hari Raya diraikan dengan meriah tahun ini.
"Saya kira jamuan raya di mana-mana pun sambutannya luar biasa sebab sudah dua tahun kita tidak adakan majlis Hari Raya. Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah membuka semula sempadan dan membolehkan kita kembali seperti biasa,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!