Bomba kenal pasti kawasan titik panas berisiko berlaku kebakaran
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengenal pasti beberapa kawasan titik panas yang berisiko berlaku kebakaran pada musim panas dan kering, yang dijangka berlaku sehingga September ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sudah bersiap siaga, dengan memulakan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti selain persiapan dari segi keanggotaan dan aset-aset diperlukan.
Beliau berkata, antara kawasan yang dikenal pasti adalah seperti di Banting, Sepang dan Johan Setia di Selangor, di Miri dan bahagian pertengahan Sarawak selain selatan Sabah.
"Kita telah memobilisasikan aset dan keanggotaan berasaskan maklumat yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Keamatan JBPM Kuala Lumpur di sini malam ini.
Beliau berkata, pihaknya turut berkolaborasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta agensi berkaitan, bagi koordinasi dari segi pengurusan bencana yang melibatkan skala besar antaranya kebakaran hutan dan kebakaran struktur.
Selain itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan penduduk tempatan, kerana terdapat kawasan yang mempunyai topografi yang amat mencabar, sekiranya berlaku kebakaran.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Monsun Barat Daya bermula Sabtu lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan September ini.
Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain, serta menghasilkan taburan hujan yang rendah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!