Perihal guru dan rotan
SEMALAM bersamaan dengan 16 Mei 2022, seluruh Malaysia meraikan golongan pendidik. Tidak kiralah guru sekolah, guru tadika, guru tuisyen, guru silat mahupun guru memandu, siapa sahaja yang bergelar 'cikgu' wajar diraikan.
Tahun ini, tema Guru Tunjang Sekolah Sejahtera dipilih Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggambarkan pengiktirafan kepada jasa guru.
Pastinya pelbagai program menarik akan dianjurkan sama di peringkat sekolah atau kementerian bagi meraikan guru yang diibaratkan seperti ibu dan bapa ketika anak-anak berada di sekolah.
Hakikat yang kita ketahui sejak dahulu lagi, tanpa guru, siapalah kita pada hari ini.
Besar jasa guru dalam mendidik dan mencurahkan segala ilmu kepada murid atau pelajar, bagi memastikan anak didiknya membesar menjadi insan yang berguna.
Namun dalam kita menelusuri institusi pendidikan di peringkat rendah dan menengah khususnya, hak guru dalam mendidik sebenarnya sudah semakin dikurangkan.
Penulis masih ingat cerita daripada ibu saudara yang merupakan seorang guru di mana, ada ibu bapa yang bukan bangsa Melayu, hadir ke sekolah ketika mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), menyerahkan seutas rotan untuk digunakan sekiranya anak mereka tidak menyiapkan kerja sekolah atau membuat kesalahan di sekolah.
Bahkan jika ada yang berani untuk balik mengadu pada ibu bapa telah didenda di sekolah, silap hari bulan, dimarahi semula kerana membuat salah di sekolah.
Begitu tinggi nilai seorang guru di mata ibu dan bapa pada masa dahulu.
Bagaimanapun hukuman denda sebegitu dalam konteks hari ini seakan-akan tidak lagi praktikal.
Guru hanya dianggap sebagai cikgu atau 'orang luar' serta tidak mempunyai hak untuk menyentuh anak muridnya walaupun dengan alasan kukuh.
Bagi segelintir ibu bapa pada hari ini, tugas tidak lebih sekadar mencurahkan ilmu.
Akibatnya, ada murid atau pelajar pada hari ini yang sukar untuk menghormati guru.
Sebagai contohnya baru-baru ini, anak penulis sendiri bercerita tentang tindakan biadab rakannya menjawab salam guru dengan bahasa yang kurang sopan.
Terkesima penulis mendengar bahasa anak yang baru menginjak ke usia tujuh tahun.
Terfikir, di mana perginya kesopanan dan kesusilaan dalam diri anak-anak masa kini?
Jika guru berkenaan mengadu tentang tindakan biadab pelajarnya itu, adakah boleh diterima oleh ibu atau bapa tersebut?
Sebenarnya jika diperhalusi, kita tidak boleh melihat rotan sebagai bentuk penderaan dan penganiayaan semata-mata.
Bahkan merotan atau memukul dibenarkan dengan syarat tertentu dalam perspektif Islam.
Rasulullah SAW sendiri mengingatkan ibu bapa supaya bertegas menjaga solat kepada anak-anak seawal umur tujuh tahun dan menghukum dengan cara memukul ketika usia mereka menginjak ke 10 tahun sekiranya enggan.
Justeru, ibu bapa perlu memahami hukuman adalah disebabkan kasih sayang, pengajaran dan memperbetulkan kesilapan.
Tidak ada guru yang sewenang-wenangnya memukul untuk melepas geram atau kerana dendam.
Oleh itu, penulis berpendapat, ibu, bapa dan anak-anak pada hari ini perlu memahami tugas dan peranan seorang guru.
Benar, tugas mendidik bukan terletak di bahu guru semata-mata, namun figura guru itu perlu dihormati dan disanjung tinggi.
* Aqmar Mustaza ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!