MKT akan putuskan kedudukan MN di Selangor: Noh

Noh
Noh
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Selangor menyerahkan keputusan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memuktamadkan kedudukan parti itu bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) di negeri berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau juga akur sekiranya UMNO Selangor perlu bertanding secara solo pada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya lihat semua bergantung kepada keadaan tapi jika kita lihat dua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), BN bergerak solo, menang pun agak luar biasa.

Saya akan akur dengan keputusan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi dan pimpinan, kita di Selangor boleh cadang, akhirnya kena bersetuju dan akur (dengan keputusan MKT) demi perpaduan serta masa depan parti.

"Kita mesti berdasarkan kepada satu keputusan ertinya dalam peperangan ini kena ada satu nakhoda sahaja jadi saya sebagai 'orang bawah' akan akur apa sahaja keputusan pucuk pimpinan," katanya.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Isnin.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan MKT diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti yang dipersetujui sebulat suara oleh ahli parti Ahad lalu membuktikan perpaduan parti itu bertambah mantap.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, keputusan sebulat suara itu sekali gus menolak dakwaan wujudnya kluster tertentu dalam kalangan ahli UMNO.

"Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, kita dapat hikmah dan barakah yang mana perpaduan UMNO semakin mantap dengan 100 peratus ahli yang hadir memberikan sokongan," katanya.

Katanya lagi, lebih menarik, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden (UMNO) turut bangun menyokong usul itu.

"Ini membuktikan perpaduan UMNO hari ini amat baik sekali.

Kalau ada yang kata ada Kluster Putrajaya, Kluster UMNO, itu tidak betul (kerana) yang kita ada sekarang perpaduan.

"Bila ada pindaan itu, bermakna tidak timbul lagi isu hendak pilihan raya dulu atau hendak pemilihan pimpinan parti dulu.

Jadi ini semua terserah dengan pimpinan," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri KUSKOP berkata, pihaknya juga kini dalam usaha membantu usahawan dalam kalangan siswazah.

"Insya-ALLAH, jika tidak sempat tahun ini kita akan mohon bajet tahun hadapan kerana sudah sampai masanya kementerian merancang satu skim membantu usahawan dalam kalangan siswazah dan golongan muda.

"Saya ada membuat perjumpaan dengan pentadbiran universiti seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mana universiti ini ada kursus keusahawanan jadi kita eratkan hubungan (dua hala).

"Kementerian sedang merancang untuk memberikan skim khas bagi membantu usahawan graduan ini, saya akan maklumkan kemudian... kita sedang berbincang (berhubung perkara ini)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!