Isteri buntu suami tidak pulang selepas keluar solat Jumaat
MARANG - Seorang isteri yang kini hamil enam bulan buntu memikirkan suaminya yang tidak pulang sejak lima hari lalu selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Tasik, Bukit Payong, disini untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.
Noorizzaty Shakira Zaid, 32, berkata, suaminya, Abdul Hadi Ismail, 37, memakai kemeja-T berwarna kelabu, berkain pelekat merah dan memakai kopiah hitam serta menaiki motosikal jenis Honda Dash untuk ke masjid kira-kira jam 12 tengah hari pada Jumaat lalu.
"Biasanya suami saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Pusu Tiga dan akan pulang ke rumah sekitar jam 2 petang.
"Pada hari tersebut, suami saya tidak pulang ke rumah sehingga petang. Saya juga tidak dapat hubungi dia kerana telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri ditinggalkan di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Norizzaty berkata, kehilangan suaminya itu menimbulkan tanda tanya termasuk dalam kalangan rakan dan ahli keluarga.
Lebih merunsingkan, katanya, suaminya itu merupakan orang kurang upaya (OKU) yang tiada kaki sebelah kanan kerana terlibat kemalangan jalan raya.
"Waktu keluar rumah dia tidak tinggalkan apa-apa pesanan malah ketika itu dia nampak seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan atau masalah.
"Kami sekeluarga termasuk rakan-rakannya sendiri buntu memikirkan ke mana dia pergi kerana sejak saya dan dia berkahwin dua tahun lalu, tidak pernah pula dia tidak pulang ke rumah," katanya.
Menurut Noorizzaty, laporan polis berhubung kehilangan suaminya sudah dibuat di Balai Polis Bukit Payong pada Sabtu.
"Buat masa ini saya belum terima sebarang perkembangan berkenaan suami dan saya menanti penuh harapan agar dia pulang ke rumah dengan selamat.
"Saya merayu agar sesiapa yang terjumpa atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan suami saya boleh salurkan ke balai polis terdekat atau hubungi saya di talian 010-9139296," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!