Aksi sukar Chelsea berdepan Leicester

Tuchel. - Foto PA
Tuchel. - Foto PA
A
A
A

AKSI Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Leicester City di Stamford Bridge pada Jumaat menjanjikan kesukaran buat Chelsea berikutan masalah kecederaan pemain yang melanda pasukan berkenaan.

Perkara berkenaan didedahkan pengendali Chelsea, Thomas Tuchel yang mengakui resah dengan situasi berkenaan kerana ia mampu menyumbang kepada kekalahan sekali gus menjejaskan kedudukan The Blues pada penghujung saingan EPL musim ini.

“Kami berdepan dengan masalah kecederaan ramai pemain dan saya menjangkakan kami akan berdepan perlawanan yang sukar berdepan Leicester nanti.

“Jika kami mampu mencatatkan kemenangan, kami berpeluang cerah untuk menamatkan saingan musim ini pada kedudukan ketiga.

“Oleh itu, saya cuma mengharapkan agar kesemua pemain dapat bertahan sehingga ke wisel penamat sambil sesekali ‘mengintai’ peluang untuk meledak jaringan bagi menjamin kejayaan pasukan,” katanya.

Untuk rekod, Chelsea berdepan masalah kecederaan pemain seperti Kai Havertz, Timo Werner, Thiago Silva, Ben Chilwell, Callum Hudson-Odoi serta beberapa pemain lagi menjelang aksi berdepan Leicester.

Berbaki dua perlawanan, Chelsea kini berada pada kedudukan ketiga dengan 70 mata hasil 20 kemenangan, 10 seri dan tewas enam kali daripada 36 perlawanan.

Mengulas lanjut, Tuchel turut mengakui kesemua pemain masih dibelenggu kekecewaan setelah tewas kepada Liverpool pada aksi final Piala FA Ahad lalu.

“Kesemua pemain masih kecewa dengan kekalahan itu. Tetapi walau apa juga keadaannya, saya berharap agar pemain yang beraksi menentang Leicester dapat mempamerkan aksi yang terbaik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!