Remaja lelaki maut, motosikal dirempuh pacuan empat roda

Mangsa maut di lokasi kejadian dalam kemalangan di Jalan Persiaran Masjid Sultan pada Selasa.
Mangsa maut di lokasi kejadian dalam kemalangan di Jalan Persiaran Masjid Sultan pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang diboncengnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Persiaran Masjid Sultan di sini pada Selasa.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Nizwan Mohd Nizam berumur 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 38 tahun itu dari arah Sungai Pinang menuju ke Pulau Indah.

"Setibanya di lokasi, lelaki yang memandu Mutsibishi Triton itu tidak sempat mengelak motosikal yang dibonceng mangsa bersama rakannya.

"Lelaki berkenaan kemudian merempuh bahagian belakang motosikal itu mengakibatkan motosikal terbabit terbabas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimanapun rakan mangsa yang menunggang motosikal tersebut hanya mengalami cedera ringan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!