'Jadi maksudnya saya nakal lah' - Awal Ashaari

Awal Ashaari memberi kenyataan media di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa selepas didakwa merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, bulan lalu.
Awal Ashaari memberi kenyataan media di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa selepas didakwa merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, bulan lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - "Jadi maksudnya saya nakal lah," seloroh Awal Ashaari ketika mengulas kenyataan peguamnya di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas pelakon dan pengacara itu didakwa atas tuduhan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan, bulan lalu.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata, isu yang timbul adalah perkara yang sangat kecil dan melucukan.

Namun katanya, disebabkan kes berkenaan dipertuduhkan ke mahkamah, dia menyerahkan perkara itu kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Kejadian berlaku di rumah saya sendiri, kediaman yang saya duduki sejak di zaman bujang, 15 tahun lalu.

"Sebenarnya saya terkejut, lepas raya saya kena Covid-19, sekarang dapat pula kes ini, tak apa lah, saya reda," katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk M Reza Hassan berkata, pembelaan akan mengkaji pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

"Selepas dapat menilai pertuduhan tersebut, kita akan nasihatkan apakah tindakan yang harus diambil.

"Isu ini sangat kecil, Awal dituduh atas Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kenakalan, itu sahaja," katanya.

Pagi Selasa, Sinar Harian melaporkan, pelakon dan pengacara, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, bulan lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!