Lima syarikat sertai SMART SBB di Pulau Pinang

Ronald (dua dari kiri) merasmikan Program SMART SBB untuk Pulau Pinang di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong, Seberang Perai Tengah pada Selasa.
Ronald (dua dari kiri) merasmikan Program SMART SBB untuk Pulau Pinang di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong, Seberang Perai Tengah pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lima syarikat peneraju di Pulau Pinang menyertai Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) untuk meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.

Lima syarikat tersebut adalah Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad; Koperasi Jalan Sempadan Nibong Tebal Berhad; Koperasi Kelompok Padi Jalan Baru Nibong Tebal Berhad, Kilang Beras Siong Heng Sdn Bhd dan OBL Maju Sdn Bhd.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Program SMART SBB merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membangunkan kawasan-kawasan penanaman padi dengan mengoptimumkan penggunaan tanah, meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi.

Menurutnya, program itu juga bermatlamat meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah dengan sasaran jumlah kawasan sawah padi seluas 150,000 hektar di seluruh negara secara berperingkat.

Katanya, Program SMART SBB di Pulau Pinang yang melibatkan keluasan kawasan 942 hektar dan 420 orang pesawah yang akan dilaksanakan di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang.

Ronald menandatangani plat untuk kelima-lima syarikat peneraju yang terlibat dalam Program SMART SBB Pulau Pinang.
Ronald menandatangani plat untuk kelima-lima syarikat peneraju yang terlibat dalam Program SMART SBB Pulau Pinang.

"Saya yakin, kolaborasi strategik antara MAFI bersama koperasi dan syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Pulau Pinang.

"MAFI telah memperkenalkan pelbagai program dan inisiatif termasuk program SMART SBB bagi meningkatkan nilai tambah, membangunkan subsektor padi dan beras negara sekali gus memastikan bekalan makanan negara mencukupi sepanjang masa.

"Program SMART SBB juga merupakan salah satu pendekatan baharu untuk menarik lebih ramai pihak swasta sebagai rakan kongsi kerajaan bagi menjadikan subsektor padi dan beras negara lebih dinamik dan berdaya saing.

“Penyertaan pesawah dalam Program SMART SBB adalah secara sukarela, tiada sebarang bentuk paksaan mahu pun pengambilan balik tanah dilakukan," katanya.

Ronald sebelum itu merasmikan Program SMART SBB dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan dan kelima-lima syarikat peneraju Pulau Pinang di Koperasi Kerjaya Permatang Nibong di sini pada Selasa.

MOU tersebut menjadikan jumlah keseluruhan penglibatan syarikat peneraju dalam Program SMART SBB adalah 24 buah.

Sementara itu katanya, sejak diperkenalkan pada 23 Februari tahun lalu, Program SMART SBB berjaya dilaksanakan di sembilan negeri iaitu Kedah; Kelantan; Pahang; Perlis; Perak; Selangor; Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan penglibatan 19 syarikat peneraju.

Ronald (dua dari kiri) melepaskan 3,000 anak ikan ke dalam sawah padi dalam usaha untuk kawalan serangga.
Ronald (dua dari kiri) melepaskan 3,000 anak ikan ke dalam sawah padi dalam usaha untuk kawalan serangga.

Jelasnya, sehingga Mac tahun ini, seramai 4,123 peserta telah menyertai Program SMART SBB dengan jumlah keluasan lebih 10,000 hektar.

"Program SMART SBB terbukti berjaya meningkatkan pendapatan dan purata hasil padi sehektar selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, seperti yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor.

“Ia melibatkan kawasan seluas 100 hektar dan meningkatkan purata hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada 8 hingga 10 tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.

"Sementara itu, di Batang Lupar, Sarawak telah merekodkan peningkatan hasil pendapatan daripada 50 peratus sehingga 100 peratus yang memanfaatkan 245 pesawah yang terlibat dengan program ini,” tambahnya.

Program SMART SBB merupakan antara hala tuju baharu industri padi dan beras yang akan terus bantu meningkatkan produktiviti dalam mencapai sasaran 75 peratus Tahap Sara Diri (SSL) negara menjelang 2025 seperti yang digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Dalam majlis sama, Ronald turut menyampaikan Insentif Projek Peningkatan Hasil Padi kepada enam kelompok dari Pulau Pinang yang merangkumi Insentif Pengurusan Pemuliharaan dan Peningkatan Kesuburan Tanah dengan nilai keseluruhan RM421,400.

Selain itu, beliau turut menyampaikan Insentif Petak Model Pengurusan Kawalan Rumpai & Padi Angin dengan nilai keseluruhan RM266,000.

Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan Insentif Pengurusan Pemuliharaan dan Peningkatan Kesuburan Tanah kepada salah seorang penerima.
Ronald (tiga dari kanan) menyampaikan Insentif Pengurusan Pemuliharaan dan Peningkatan Kesuburan Tanah kepada salah seorang penerima.

Tiga usahawan telah menerima geran di bawah Program Pemadanan CUP (Change Upgrade Product) daripada Bahagian Industri Makanan Dan Asas Tani (IMAT), MAFI dengan nilai keseluruhan RM119,500.

Dalam pada itu, Ronald menyaksikan Pertukaran Dokumen Aplikasi Teknologi Hijau Solar Photovoltaic antara Lotus MFZ Green Tech (M) Sdn Bhd dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang.

Katanya, inisiatif Bahagian Pembangunan Industri Padi MAFI memperkenalkan tenaga alternatif 'solar photovoltaic' di semua pejabat IADA serta infrastruktur pengairan iaitu rumah pam utama di kawasan jelapang sebagai usaha penjimatan kos operasi Kerajaan seterusnya menyahut seruan penggunaan teknologi hijau di dalam industri pertanian adalah amat membanggakan.

"Saya berharap agar semua usaha murni kerajaan terus diperkasakan dan mendapat sokongan semua pihak, selari dengan matlamat kerajaan dalam menjamin sekuriti makanan negara sepanjang masa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!