Ahmad Zahid dicabar tunjuk bukti Tun M bukan Melayu
SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bukti bahawa beliau bukan bangsa Melayu seperti yang telah didakwa sebelum ini.
Menurut Dr Mahathir, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Ahmad Zahid tidak menunjukkan bukti dan menarik kembali fitnah tersebut.
"Ahmad Zahid ini penipu. Orang putih kata 'compulsive liar', pembohong tegar. Dulu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.
"Beliau dakwa bahawa IC (kad pengenalan) biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara.
"Dakwaan ini dibuat Ahmad Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Selasa.
Dr Mahathir juga menunggu Zahid untuk mengeluarkan bukti tetapi sehingga habis PRU14, Ahmad Zahid tidak berbuat demikian.
"Dia nak burukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya.
"Dengan itu dia mahu pertikai kelayakan saya pimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya. Kononnya saya 'anak lelaki' dan bukan 'bin', jadi saya ini bukan Melayu.
"Ya, saya memang ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.
"Mengikut takrifan Perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya," jelasnya.
Beliau berkata, ibu dan bapa beliau dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan beragama Islam.
"Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu.
"Sebelum ini saya tidak gemar menggunakan mahkamah walaupun ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.
"Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Ahmad Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja.
"Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong UMNO dan orang Melayu lain demi untuk beliau mahu kekal berkuasa amat bahaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!