Enggan sertai kongsi gelap, remaja dibelasah hingga parah

Gambar hiasan - Foto kecil: Tok Beng Yeow
Gambar hiasan - Foto kecil: Tok Beng Yeow
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mendatangkan kecederaan terhadap seorang mangsa berusia 16 tahun, Jumaat lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian remaja lelaki itu sedang menunggu rakannya di Jalan Sutera Tanjung 8/3, Taman Ungku Tun Aminah (Tuta) kira-kira jam 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kulai, Suprintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa didatangi sekumpulan lelaki sebelum dipukul dan ditinggalkan di ladang kelapa sawit di Senai dalam keadaan cedera parah.

"Siasatan awal mendapati, tujuh suspek tersebut merupakan kenalan sekolahnya. Mangsa dibawa menaiki kereta bersama semua suspek sebelum diugut dengan pisau.

"Setibanya di satu lokasi mangsa kemudiannya dipukul kerana menolak tawaran suspek untuk menyertai Geng 265 dan 21. Mangsa ditinggalkan dengan keadaan parah di bahagian kepala serta patah jari kedua-dua tangan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bertindak atas maklumat, Beng Yeow berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah digerakkan untuk mengesan beberapa suspek disyaki terlibat dalam kes itu.

Hasilnya, beliau berkata, tiga suspek berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun berjaya dicekup di tiga lokasi berasingan sekitar Kulai dan Skudai.

"Suspek ditahan dalam premis di Indahpura, Kulai dan Tuta. Kesemuanya dibawa ke IPD Kulai untuk membantu siasatan. Polis juga sedang berusaha memburu saki baki suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.