MPN syor kerajaan rangka inisiatif bantu sektor pelancongan
PUTRAJAYA - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya kerajaan merangka inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan kapasiti pemain industri pelancongan yang telah terjejas teruk selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelancongan merupakan antara sektor yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19 dan ketibaan pelancong ke Malaysia telah berkurang sebanyak 99.5 peratus pada tahun 2021 berbanding 2019.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini beliau berkata faktor seperti varian Covid-19 baharu dan ketidakstabilan politik global berisiko mengancam proses pemulihan sektor berkenaan.
Beliau berkata, selain itu tindakan China yang masih menutup pintu sempadan turut memberi kesan secara tidak langsung kepada sektor pelancongan negara.
Menurutnya, MPN hari ini turut menyentuh prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak lima peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku yang sama 2021.
Muhyiddin berkata, prestasi ekonomi yang baik itu, disokong oleh permintaan dalam negeri yang meningkat ekoran kegiatan ekonomi yang kembali normal susulan pembukaan semula ekonomi secara berfasa melalui Pelan Pemulihan Negara.
"Alhamdulillah prestasi ekonomi negara yang menunjukkan pemulihan yang ketara pada suku pertama 2022 membuktikan langkah-langkah yang diambil kerajaan sepanjang tempoh pandemik dan pasca pandemik adalah tepat," katanya dan menambah MPN juga optimis prestasi pada suku kedua adalah lebih baik.
Muhyiddin berkata, MPN turut mengesyorkan kerajaan untuk mengaktifkan semula majlis khas jaminan makanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara dalam usaha mengatasi isu sekuriti makanan.
"Ini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berhadapan dengan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik.
"Sektor pengeluaran makanan termasuk bahan makanan asas semakin berkurangan. Disebabkan itu kita berhadapan dengan masalah kenaikan harga makanan mentah, kenaikan harga baja, kenaikan harga makanan ternakan dan menyebabkan ternakan di negara kita ini kos meningkat dan bila dipasarkan di pasaran tempatan rakyat kita menghadapi masalah harga tinggi daripada biasa," katanya.
Beliau berkata, pengeluaran bahan mentah makanan tempatan belum sampai ke peringkat sara diri dan menyebabkan negara terus mengimport bekalan makanan untuk rakyat, dan menurutnya tindakan mengaktifkan semula majlis khas itu juga dilihat sebagai salah satu langkah menangani masalah inflasi walaupun ia bukan penyelesaian penuh. Muhyiddin berkata, penubuhan Majlis Pemulihan Negeri masih lagi relevan meskipun negara sudah berada dalam fasa peralihan ke endemik kerana isu pemulihan selepas pandemik Covid-19 bukan sahaja masalah nasional malah negeri juga memainkan peranan yang sama penting.
"Kita dah setuju, kabinet juga sudah bersetuju dan nak tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tanda tangan surat supaya kerajaan negeri akan bentuk Majlis Pemulihan Negeri itu dalam tempoh terdekat," katanya.
Pada Oktober tahun lepas, Muhyiddin mencadangkan agar setiap negeri mempunyai majlis pemulihan sendiri yang dipengerusikan oleh menteri besar dan ketua menteri masing-masing, bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, satu persidangan kebangsaan berkaitan dengan PPN akan diadakan pada hujung tahun ini bagi membincangkan tajuk-tajuk atau isu-isu penting berkaitan pemulihan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!