Kerajaan Kedah digesa roboh tugu peringatan Jepun

Siaw Ting (empat, kiri) bersama wakil MCA, MIC, UMNO dan Pas Kedah meninjau tugu peringatan Jepun yang menimbulkan kontroversi.
Siaw Ting (empat, kiri) bersama wakil MCA, MIC, UMNO dan Pas Kedah meninjau tugu peringatan Jepun yang menimbulkan kontroversi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembangkang mendesak kerajaan negeri merobohkan tugu peringatan Jepun yang dibaik pulih di bahagian utara Jambatan Sultan Abdul Halim, kerana menyifatkan tiada keperluan membina tugu mengenang kekejaman penjajah.

Ketua Pemuda MCA Pusat, Nicole Wong Siaw Ting berkata, pihaknya menggantung kain rentang anti Jepun pada tugu berkenaan sebagai mempertahankan maruah seluruh rakyat Kedah.

Bagaimanapun, pihaknya kesal selepas berbuat demikian, kerajaan negeri mengancam untuk membuat laporan polis.

“MCA diugut jika ulangi perbuatan itu, laporan polis akan dibuat. Kami tak gentar dan akan terus pantau isu ini,” katanya, ketika meninjau tugu peringatan Jepun, semalam.

Sebahagian wakil pembangkang yang hadir membuat bantahan kewujudan tugu peringatan Jepun, semalam.
Sebahagian wakil pembangkang yang hadir membuat bantahan kewujudan tugu peringatan Jepun, semalam.

Siaw Ting berkata, MCA membantah kewujudan tugu yang diperindahkan itu kerana perbuatan itu menunjukkan kerajaan negeri tidak sensitif terhadap kekejaman penjajah, sebaliknya diberikan penghormatan.

“Jika sudah rosak, tak perlu baiki untuk memperingati askar Jepun. Ia wajar dirobohkan, kerajaan PH tidak prihatin dan tidak berfikir panjang sebelum buat keputusan kontroversi. Saya juga mahu bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai orang Kedah, apakah wajar tugu itu dibaik pulih?” soalnya.

ARTIKEL BERKAITAN "Kita bukan buta sejarah"

Artikel Berkaitan:

Menurut Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Hiong, sekiranya kerajaan negeri mahu mempromosikan produk pelancongan baharu, terdapat banyak lagi tempat menarik boleh diketengahkan.

“Kita ada Pekan Melayu, Pekan Cina, Lembah Bujang dan banyak lagi yang belum dipromosi secara menyeluruh. Kenapa perlu tumpu pada tugu ini, malah diperbesarkan untuk tatapan umum,” katanya.

Ketua Pemuda MIC Kedah, Jeevabalan Jayaraman turut menyelar tindakan memperindahkan tugu terbabit yang disifatkan umpama mengagungkan tentera Jepun yang menjajah negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan Kedah mohon maaf isu 'wira Jepun'

Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Nazar Ahmad Md Noor turut kesal apabila kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam majlis perasmian tugu berkenaan.

“Perbuatan itu seolah memartabatkan askar Jepun sebagai wira, tak mungkin generasi baru lupa pada sejarah penjajahan negara. Kami selar perbuatan itu yang dianggap tidak bertanggungjawab dan memalukan,” katanya.

Sementara, Ketua Penerangan Pas Kedah, Abd Hadi Omar berkata, isu ini tiada kaitan dengan sikap rasis terhadap mana-mana kaum, sebaliknya isu ini begitu sensitif kalangan masyarakat.

“Pas mahupun parti pembangkang lain, bukan rasis. Kami bersama dalam isu sejagat, dan sepakat mahu tugu itu dirobohkan. Pasti ramai pejuang kemerdekaan kesal dengan sikap kerajaan negeri ini. Jika ia kubur askar Jepun, kami tak bantah, yang kami bantah kerana dibaik pulih dan diperbesarkan tugu terbabit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!