Taktik edar dadah dalam krayon terbongkar

Soffian (dua dari kanan) menunjukkan krayon yang diubah suai dengan mengisi dadah sebelum dihantar kepada pelanggan di luar negara.
Soffian (dua dari kanan) menunjukkan krayon yang diubah suai dengan mengisi dadah sebelum dihantar kepada pelanggan di luar negara.
A
A
A
GEORGETOWN- Modus operandi satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan mengisi dadah jenis syabu ke dalam krayon terbongkar apabila salah seorang daripada mereka ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di tepi jalan di pusat bandar pada jam 11.30 malam, Khamis lalu.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu ditahan selepas disyaki telah mengubah suai krayon tersebut sebelum mengisi dadah ke dalamnya untuk dihantar kepada pelanggan di luar negara.

"Sindiket dadah ini aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan modus operandi membungkus semula dadah menggunakan krayon. Suspek dipercayai memotong bahagian bawah krayon lalu mengisinya dengan syabu seberat tujuh gram bagi setiap satu batang krayon.

"Ahli sindiket akan menghantar kesemua krayon yang mengandungi 48 batang krayon (dalam satu kotak) kepada pelanggan di luar negara. Sindiket ini menggunakan modus operandi tersebut kononnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun gagal," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada Selasa.

Difahamkan, terdapat tiga bungkusan yang dihantar ke luar negara berisi krayon yang dimasukkan dengan syabu bernilai RM30,000 setiap satu yang mana, semua bungkusan itu telah dirampas pihak berkuasa negara berkenaan.

Tambah Soffian, ujian air kencing suspek mendapati positif dadah dan suspek direman selama enam hari bermula 12 Mei untuk siasatan lanjut.

Soffian berkata, polis percaya suspek tidak bertindak sendirian dan usaha memburu ahli sindiket lain sedang giat dijalankan.

"Susulan daripada penahanan suspek, kita menyerbu sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang dan merampas syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM36,666, 77 gram ketamin bernilai RM11,550 serta peralatan membungkus dadah dan sebuah kereta.

''Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh lebih 5,000 penagih dadah dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta bernilai RM82,636,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong yang dijadikan makmal mini memproses dadah.

Soffian berkata, serbuan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun di tepi jalan di Jelutong.

"Tangkapan dibuat pada 13 Mei lalu yang mana membawa kepada serbuan ke atas sebuah rumah pada keesokan harinya. Di rumah itu, kita merampas 3.32 kilogram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), 67.43 gram ketamin, 18 gram syabu dan beberapa lagi jenis dadah lain. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM213,980.

"Dadah MDMA ini dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan seperti di pusat hiburan. Ujian saringan air kencing suspek mendapati positif dadah,'' katanya.

Soffian menambah, suspek ditahan reman bermula 14 Mei selama lima hari untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!