120 gerai meriahkan Aidilfitri@Dataran Merdeka pada 28 Mei
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 120 gerai makanan akan memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya 'Aidilfitri@Dataran Merdeka' pada 28 Mei nanti.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi Facebooknya berkata, program anjuran Jawi dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.
Menurut kenyataan itu, program itu menghimpunkan penyertaan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi menyediakan variasi juadah makanan termasuk kambing golek.
"Juadah menyelerakan ini akan diberikan secara percuma untuk dinikmati oleh orang ramai.
"Dijangka program tersebut akan dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, " menurut kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, program sama pernah diadakan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
"Acara tersebut menarik kehadiran 20,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang dengan menu tarikan utama kambing golek dan durian.
"Acara berkenaan turut menerima anugerah Malaysia Book of Records menerusi penganjuran masjid paling banyak dalam acara rumah terbuka hari raya," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!