Long Tiger dilepas tanpa dibebas bagi kes peras ugut

Long Tiger
Long Tiger
A
A
A

MUAR - Mahkamah Majistret Tangkak pada Selasa memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Abdul Hamim Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger yang menghadapi pertuduhan di bawah seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Peguamnya, Datuk Shaharudin Ali berkata, perintah itu dikeluarkan Majistret, Zaridah Abdul Jaapar, hari ini.

"Majistret membuat perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada pertengahan perbicaraan.

"Pihak pembelaan masih belum menyelesaikan pemeriksaan terhadap saksi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Shaharudin dan Azfar Azmi.

Pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan pada jam 11.55 pagi, pada 15 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk melarikan diri dengan keluar menghala ke pintu utama mahkamah ketika melibat pintu sel tidak berkunci.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu kemudiannya ditangkap pada 28 Disember 2021, sebelum empat individu lain termasuk lelaki yang berperwatakan perempuan yang di Sungai Petani serta di Yong Peng, Batu Pahat ditahan keesokannya.

Semasa tangkapan Long Tiger dibuat oleh polis Bukit Aman itu, tertuduh mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!