Perang di Ukraine pun punca musang king naik harga

Harga durian tahun ini dijangka naik sekali ganda.
Harga durian tahun ini dijangka naik sekali ganda.
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu ramai peminat raja buah yang resah, tidak terkecuali Merak Jalanan.

Apa tidaknya, musim durian sudah kembali tapi Timbalan Menteri Pertanian dah bagi warning harga durian tahun ini dijangka naik sekali ganda.

Jadi kalau dihitung congak, jika kebiasaannya Merak Jalanan 'pekena' durian harganya RM45-RM50 sekilogram, maka musim ini harga tersebut mungkin mencecah RM100 sekilogram.

Buah musang king bersaiz sederhana biasanya sekitar 1.5 kilogram, ini bermakna untuk sebiji buah durian yang mungkin ada beberapa ulas harganya boleh sampai RM150.

Maka tidak hairanlah, ramai yang menyebut harga durian musang king tahun ini, memang harga kayangan.

Rakan-rakan Merak Jalanan di Pulau Pinang pun mengirim mesej yang sama mengenai durian.

“Kalau nak makan durian di Balik Pulau, eloklah tunggu dulu. Harga tengah tinggi, sebab awal musim.”Lantas sejak beberapa hari lalu, walaupun melalui gerai-gerai durian di sekitar Shah Alam dan Ampang, setakat ini terpaksalah ambil baunya dahulu.

Tunggulah harga durian turun sedikit baru puas hati makan.

Itupun dengan harapan buah durian akan lebih banyak hasilnya menjelang Jun nanti.

Walaupun Timbalan Menteri memaklumkan kenaikan harga sebab hasil durian tahun ini merosot, tapi beberapa peladang turut mengaitkannya dengan peningkatan kos.

Daripada temu bual beberapa rakan wartawan Merak Jalanan, peladang memaklumkan kos operasi dan harga baja juga naik berbanding tahun lalu.

Kata mereka, kos baja naik impak perang Rusia dan Ukraine.

Merak Jalanan harap kerajaan dapat segera mencari pengeluar baja pertanian daripada negara lain selain Rusia dan Ukraine. Jika tidak, harga durian yang sudah mahal, akan makin mahal selepas ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!