MKT UMNO kena amankan Melaka
RM45 juta! Itulah kos yang telah digunakan demi sebuah Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka pada November tahun lalu.
PRN Melaka diadakan selepas pentadbiran Melaka diketuai UMNO/Barisan Nasional tumbang berikutan empat ahli Dewan Undangan Negeri terdiri daripada UMNO sendiri dan parti gabungan angkat kaki.
Lantas, akibat tsunami politik negeri Hang Tuah itu, PRN terpaksa diadakan awal tidak seperti sebelum ini bersama-sama Pilihan Raya Umum.
Namun, sejak seminggu dua lalu, tiba-tiba politik Melaka kembali bergelora. Bersama-sama angin Selat Melaka, ada berita kurang enak yang sedang berkumandang.
Tiba-tiba sahaja tular dakwaan kononnya Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri.
Walaupun bagi sesetengah pihak, kisah tersebut sekadar desas-desus, namun ternyata ia tidak boleh dipandang enteng. Apatah lagi ada Ketua UMNO Bahagian yang tidak menafikan wujud paksaan oleh pihak tertentu yang memberi tekanan terhadap Sulaiman.
Rentetan itu, lima Ketua UMNO Bahagian bangkit menyatakan ikrar di belakang Sulaiman yang baru memegang jawatan Ketua Menteri selama enam bulan.
Malah, UMNO Bahagian Alor Gajah turut mencadangkan agar Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang kini dipegang Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kisah Sulaiman-Rauf yang sering dikaitkan dengan peribahasa Cina ‘dua harimau tidak boleh berada di atas satu bukit' bukanlah baharu.
Ia sebenarnya sudah kedengaran sejak sebelum PRN Melaka lagi, walaupun tuan punya badan sudah menafikannya. Namun, kali ini apabila ada pihak cuba melagakan atau menangguk di air keruh, maka ia tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak boleh berdiam diri dan perlu melakukan sesuatu.
Politik Melaka tidak boleh dibiarkan berkecamuk lagi. Rakyat baru sahaja membuang undi, maka sekarang orang politik tunaikanlah tanggungjawab dengan aman dan amanah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!