Liga Super: Sabah himpit JDT
SABAH FC berhasil mengikat mata kedudukan dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menumpaskan Penang FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Selasa.
The Rhinos terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan Baddrol Bakhtiar, sekali gus meletakkan pasukan Sabah di depan.
Bersambung babak kedua, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol, T Saravanan pada minit ke-51.
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah menggandakan asakan dalam usaha mencari gol dan Jackson De Souza kembali meletakkan The Rhinos di depan menerusi jaringan pada minit ke-57, sebelum selang tiga minit, Baddrol melakukan ‘overhead kick’ untuk gol ketiga Sabah.
Skuad bimbingan Ong Kim Swee itu melakukan lebih banyak serangan dan berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan Stuart John Wilkin pada minit ke-66, sebelum Hilal El-Helwe kemudian merapatkan kedudukan untuk Penang FC pada minit ke-76'.
Keputusan 4-2 kekal berpihak kepada Sabah sehingga wisel penamat ditiup sekali gus meletakkan kelab sensasi Kepulauan Borneo itu berkongsi 15 mata dengan JDT di carta Liga Super dengan perbezaan perlawanan.
Sementara itu dalam aksi tunggal Liga Premier, UiTM FC berhasil memperoleh kemenangan sulung selepas menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
UiTM memperoleh gol tunggal hasil jaringan Amirul Aiman Ibrahim pada minit ke-43 sekali gus merupakan tiga mata penuh diraih mereka dalam kancah liga tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!