Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara
JOHOR BAHRU - Status terkini Pulau Kukup di Pontian kekal sebagai Taman Negara dan akan kembali diuruskan Kerajaan Johor seperti kebiasaannya.
Perkara itu dimaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Twitternya dengan memuat naik sepucuk surat perakuan rasmi berhubung status terkini pulau berkenaan.
Menurut apa yang tertera di dalam surat itu, Pulau Kukup di Pontian akan kekal sebagai Taman Negara selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Perkara itu berikutan kuasa dimiliki Baginda Sultan selepas pulau berkenaan diletakkan di bawah Enakmen Sultanate Land apabila dilepaskan rizab sebagai Taman Negara.
Surat itu juga memaklumkan supaya Pulau Kukup hendaklah dijaga dan dikawal selia Kerajaan Johor di bawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan negeri.
Sementara itu, dalam tweet yang berasingan, Tunku Ismail turut menyuarakan kenapa isu Pulau Kukup perlu diperbesar dan dipolitikkan.
Menurutnya, isu tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri dan dirinya yakin keputusan Tuanku Sultan Ibrahim dan kerajaan negeri adalah demi kepentingan dan kedaulatan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!