Lelaki didenda palsukan daftar kelahiran bayi

Muhammad Ridzuan Chan didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku salah membenarkan untuk dibuat penyataan palsu bagi pendaftaran kelahiran seorang bayi perempuan, dua tahun lalu.
Muhammad Ridzuan Chan didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku salah membenarkan untuk dibuat penyataan palsu bagi pendaftaran kelahiran seorang bayi perempuan, dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan membenarkan untuk dibuat penyataan palsu bagi pendaftaran kelahiran seorang bayi dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ridzuan Chan didapati membenarkan untuk dibuat catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh kira-kira jam 11 pagi pada 10 September 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Hisam Saruddin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G Harbhajan Singh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!