Calon ketua cabang didakwa seleweng dana
IPOH - Seorang wanita membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan dana melibatkan seorang calon ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak.
Laporan tersebut dibuat Mahanim Abdul Hamid terhadap seorang lelaki yang didakwa telah menggunakan dana milik badan bukan kerajaan (NGO) bagi kegunaan peribadi menjelang pemilihan parti berkenaan.
Mahanim yang juga ahli PKR meminta SPRM membuat siasatan lanjut terhadap penyelewengan dana disyaki melibatkan ratusan ribu ringgit.
"Kutipan dana NGO tersebut merupakan derma daripada orang awam bagi tujuan membantu madrasah, pelarian dan orang Islam yang dalam kesusahan.
"Perkara ini dimaklumkan oleh dia (calon ketua cabang terbabit) sendiri kepada saya, dia memberi wang untuk perbelanjaan pemilihan bagi tujuan memenangkannya sebagai ketua cabang," katanya kepada pemberita di perkarangan Pejabat SPRM Perak di Meru Raya di sini pada Selasa.
Menurut Mahanim, dia percaya individu tersebut turut melakukan perkara sama terhadap NGO-NGO lain yang disertainya.
"Saya berharap pihak SPRM dapat siasat kerana kita tidak mahu dana dikutip yang sepatutnya untuk membantu rakyat tetapi digunakan atas kepentingan peribadi bertanding sebagai ketua cabang.
"Selain itu saya berharap pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga integriti dan imej parti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!