Sweden, Finland serah permohonan sertai NATO pada Rabu

Magdalena Andersson
Magdalena Andersson
A
A
A

STOCKHOLM - Sweden dan Finland akan bersama-sama mengemukakan permohonan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Rabu, kata Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson, pada Selasa.

Keanggotaan NATO itu akan mengukuhkan keselamatan di Sweden dan di rantau Laut Baltik, lapor Xinhua.

Mengemukakan permohonan bersama Finland "bermakna kita dapat menyumbang kepada keselamatan di utara Eropah”.

"Keselamatan di kedua-dua negara berkait rapat, dan kerjasama erat amat penting.

"Permohonan kami menyertai NATO adalah isyarat bahawa kami bersatu demi masa depan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Presiden Finland Sauli Niinisto.

Menteri Luar Sweden Ann Linde menandatangani permohonan keahlian NATO negara itu pada pagi Selasa.

Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin berkata, Moscow akan bertindak balas jika NATO menggunakan infrastruktur ketenteraan di wilayah Finland atau Sweden.

Niinisto mengadakan lawatan ke Sweden pada Selasa hingga Rabu.

Andersson dan Niinisto kemudiannya dijadual bertemu Presiden AS Joe Biden di Washington pada Khamis, menurut kerajaan Sweden. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!