28 papan iklan dibina di hutan simpan dirobohkan

Antara papan iklan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah dirobohkan pada Selasa kerana dibina tanpa kebenaran. Gambar kecil; Ahmad Fadzil
Antara papan iklan di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah dirobohkan pada Selasa kerana dibina tanpa kebenaran. Gambar kecil; Ahmad Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) akan merobohkan 28 papan iklan yang dibina tanpa kebenaran di kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid berkata, Op Billboard secara bersepadu dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Sepang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang itu dijalankan selama tiga minggu bermula Selasa.

Menurutnya, tiga papan iklan telah dirobohkan pada hari pertama (Selasa).

"Kesemua papan iklan ini dibina di dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu di tepi Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara bermula dari Kilometer (KM) 25 hingga KM19. Notis telah dikeluarkan, tetapi tiada tuntutan daripada mana-mana pihak.

"Operasi bersepadu ini turut melibatkan pihak Lebuhraya Elite," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, dua kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah peruntukan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan, tetapi tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Katanya, JPNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa kebenaran.

"Tindakan ini diambil bagi membuktikan JPNS amat serius dalam menangani isu pencerobohan HSK tanpa kebenaran di negeri ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!