AP bekalan makanan dimansuhkan: PM
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Permit import (AP) bekalan makanan tidak lagi diperlukan berkuat kuasa serta-merta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
"Langkah ini dibuat bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara mencukupi," katanya.
Beliau berkata, dengan pemansuhan tersebut sesiapa sahaja kini boleh mengimport makanan masuk ke dalam negara.
"Kalau dahulu ada bermacam-macam AP, mulai hari ini tidak ada AP lagi diperlukan," katanya ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengumumkan perincian berhubung perkara tersebut.
"MAFI juga diarahkan untuk mengemukakan segera cadangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan kesan perang Rusia dan Ukraine tidak beri kesan besar kepada negara kita," katanya.
Mengulas mengenai laporan kartel ayam yang didakwa merancang untuk menutup ladang pada Sabtu dan Ahad ini serta mencatu bekalan kerana lambat mendapat subsidi 60 sen daripada kerajaan, Ismail Sabri berkata, MAFI turut diarahkan untuk segera mengambil tindakan.
"Sebenarnya kita dimaklumkan bahawa MAFI yang menunggu claim daripada penternak.
"Saya tidak tahu salah siapa," katanya.
Menurutnya, terdapat laporan tuntutan subsidi mempunyai prosedur tertentu yang tertentu agak melewatkan.
"Kita arahkan agar MAFI mempercepatkannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!