Isteri mangsa kebakaran, letupan terima pencen penakat

Tarmizi (kanan) menyerahkan replika cek kepada Normaryana selepas berakhirnya program bersama pemimpin masyarakat peringkat pejabat Perkeso di Wisma Perkeso pada Rabu.
Tarmizi (kanan) menyerahkan replika cek kepada Normaryana selepas berakhirnya program bersama pemimpin masyarakat peringkat pejabat Perkeso di Wisma Perkeso pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang suri rumah yang hilang punca pendapatan dalam sekelip mata selepas suami meninggal dalam satu tragedi kebakaran dan letupan membabitkan dua rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, pada 28 April lalu.

Normaryana Hamid, 29, berkata, tragedi menimpa arwah suaminya, Mohd Azwan Kapli, 35, memberi kesan mendalam pada dirinya dalam membesarkan anak-anak yang masih kecil.

Namun dia bersyukur apabila nasibnya sekeluarga terbela apabila menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman suaminya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.

"Saya dapat tahu arwah ada mencarum Perkeso ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Saya tak sangka suami layak menerima pencen penakat sebanyak RM567 dan FPM sebanyak RM2,000. Bantuan ini sebenarnya memberi kelegaan kepada saya memandangkan masih mempunyai anak-anak bersekolah dah masih kecil.

"Kini selepas kematian suami, saya hilang dahan untuk berpaut dan dengan adanya pencen Penakat ini sedikit sebanyak dapat membantu kami berlima meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui pemberita pada program bersama pemimpin masyarakat peringkat pejabat Perkeso di Wisma Perkeso di sini pada Rabu.

Majlis itu dirasmikan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman.

Mohd Azwan dikatakan meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas badannya melecur 90 peratus akibat kebakaran itu.

Dalam kejadian jam 3 pagi pada 28 April itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun rentung dalam kejadian kebakaran dan letupan.

Mengulas lanjut, Normaryana berkata, dia mahu pulang ke kampung halaman di Felda Jengka dan memulakan kehidupan baharu di sana dalam masa terdekat.

"Saya mahu melupakan kenangan pahit di sini (Kuantan) dan mahu tinggal bersama ibu serta ayah di kampung halaman.

"Kalau boleh saya mahu mencari kerja yang sesuai bagi menyara kehidupan kami lima beranak dan buat masa ini, saya perlu bergantung kepada pencen penakat peninggalan arwah suami untuk terus hidup," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso, Tarmizi Mukhtar berkata, balu kepada arwah Mohd Azwan menerima pencen penakat secara bulanan seumur hidup.

Menurutnya, Perkeso sedaya upaya membantu waris untuk meneruskan kehidupan terutamanya dalam soal pendidikan anak-anak.

"Kita akan jadikan anak arwah sebagai anak angkat Perkeso sekali gus membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!